KLUANG 5 Sept. - Sebuah rumah yang dihiasi dengan replika Menara Berkembar Petronas yang diperbuat dengan menggunakan botol plastik minuman dan simbol 1Malaysia yang dihasilkan daripada konkrit adalah antara yang menarik perhatian penduduk Kampung Paya Baru, Layang-layang, dekat sini.
Tidak cukup dengan itu, Khamis Ham Basri, 49, turut menghiasi keretanya sehingga 'sarat' dengan Jalur Gemilang dan baginya, perbelanjaan keseluruhan sebanyak hampir RM2,000 untuk menterjemah semangat cintakan negara ini adalah perkara yang sangat membanggakan.
"Seminggu suntuk saya menyusun 540 botol plastik untuk diikat bersama dawai besi yang telah dibentuk sebelum disembur dengan cat bagi menyiapkan replika bangunan berkembar ini dan saya lakukannya seorang diri.
"Idea membuat barang terpakai untuk membina replika bangunan pencakar langit ini datang secara tiba-tiba, semangat saya juga berkobar-kobar setelah dicabar rakan-rakan untuk merealisasikan idea itu," katanya ketika ditemui kediamannya di sini, baru-baru ini.
Hobi Khamis Ham ini turut membawa rezeki kepadanya apabila pernah dua kali berturut-turut memenangi tempat ketiga iaitu tahun 2009 melalui hiasan pada kereta dan tahun lepas menerusi pintu gerbang dalam pertandingan keceriaan anjuran Komuniti Rukun Tetangga (KRT).
Menurutnya, untuk sambutan merdeka tahun ini kesemua hiasan sebelum ini dikekalkan dan ditambah dengan membina replika bangunan berkembar dan 1Malaysia yang memakan belanja RM1,500.
"Jalur Gemilang yang dipasang pada kereta pula berjumlah 305 helai bendera dengan kos RM414. Saya tidak kisah berhabis duit kerana bulan kemerdekaan perlu dihargai kerana saya tidak pernah merasa Hari Kemerdekaan seperti yang dirasai oleh pejuang kemerdekaan terdahulu," katanya lagi.Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Onn Mohd. Yassin ketika ditemui turut menyatakan perasaan bangga kerana Khamis Ham satu-satunya penduduk dengan semangat merdeka luar biasa di kawasan ini.
No comments:
Post a Comment